Tuesday, September 8, 2009

Maizawati Ex Wife Akhil Hayy Jadi Penyanyi

HAJAT untuk menyertai dunia nyanyian nampaknya berhasil jua apabila Maizawati Zainal telah pun mula memasuki studio untuk merakam lagu dua hari lalu.

Setelah 20 tahun meninggalkan aktiviti nyanyian, Maizawati atau Maiza kembali mengalunkan lagu yang sememangnya diminati sejak kecil lagi.


Maiza sedang menjalani proses rakaman dua buah lagu berjudul 'Ketentuan' manakala sebuah lagu raya yang belum diberikan tajuk.


Lagu 'Ketentuan' lebih berkonsepkan ketuhanan manakala sebuah lagi merupakan lagu raya.


* Dari perhatian saya terutamanya pada forum, kebanyakkan orang tidak beberapa setuju Maizawati menjadi artis. Ini kerana sejarah berulang kembali akan kisah Ina Naim yang sebelum ini. Walau apa yang berlaku, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang berlaku pada Maizawati dan diri kita. Apa yang baik kita jadikan pedoman, apa yang buruk kita jadikanlah sempadan. Saya ingin berkongsi satu firman Allah untuk kita sama-sama fikirkan dan muhasabah kembali apa yang berlaku pada diri kita dan di sekeliling kita.


"Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri)..." (An-Nisa : 34)


Friday, September 4, 2009

Menanti Di Barzakh


Dalam sedar atau tidak sedar, kini kita sudah melangkah ke separuh bulan Ramadhan yang makin hari makin meninggalkan kita. Bagi orang beriman pasti hatinya merintih kesedihan kerana Ramadhan akan meninggalkannya dan belum pasti akan bertemu denganya pada tahun seterusnya. Tapi berbeza pula dengan manusia 'biasa' pasti hatinya riang dan tidak sabar-sabar menanti kunjungan bulan Syawal iaitu Hari Raya Aidilfiri. Lagu-lagu Raya 'dimainkan' tanpa mengira tempat dan masa bagi merasai kehangatan bara Hari Raya. Cuba kita perhatikan diri kita kembali, mana satukah golongan diri kita berada sama ada manusia beriman atau manusia 'biasa'? Tepuk dada, tanyalah iman janganlah tanya hati dan nafsu semata-mata. Sedarlah manusia yang bersifat lupa, lalai termasuklah diri dhaif ini, rebutlah syafaat, kelebihan bulan Ramadhan kali ini. Jangan biarkan Ramadhan kali ini berlalu begitu sahaja tanpa memberi makna yang baik pada diri kita yang banyak kelemahan dan kekurangan. Marilah kita sama-sama banyakkan muhasabah diri kita, banyak manakah amalan kita yang hendak kita bawa ke 'sana'. Adakah cukup amalan kita selama ini untuk kita mengapai 'piala' Taqwa? Adakah cukup untuk kita memperolehi anugerah 'pangkat' Keredhaan di sisi Allah? Semoga kita semua tenang, bahagia di 'sana'. Amin..

Thursday, September 3, 2009

Kapal Selam Pertama Negara

Pelabuhan Klang - Setelah berlayar merentasi lautan sejauh 6,000 batu nautika dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu, kapal selam pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman (TAR) melakar detik bersejarah apabila selamat tiba di jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah di Pusat Hidrografi Nasional Tentera Diraja Malaysia (TLDM), Pulau Indah di sini pagi semalam.

KD TAR, salah satu kapal selam jenis Scorpene itu yang diketui oleh Pengawai Memerintah, Komander Zulhelmey Ithnain bersama 32 krew kapal berjaya mengemudi kapal selam itu dengan merentasi lautan melalui pelabuhan Jeddah, Arab Saudi, Djibouti, Somalia dan Conchin, India dalam tempoh 54 hari sebelum tiba di pengkalan negara kira-kira pukul 9.20 pagi semalam.

Scorpene, kapal selam jenis tempur konvensional yang mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman antara 100 dan 2oo meter itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya di kawasa-kawasan strategik pada 17 September ini. ~Kosmo~

* Semoga kehadiran kapal selam pertama negara ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama dalam sistem pertahanan negara.

Monday, August 31, 2009

Syurga Cinta


Alhamdulillah tertunai jua hajat saya hendak tonton filem komedi ini 'Syurga Cinta' . Rancangan pergi kedai cd tanpa dirancang semasa dalam perjalanan balik ke tempat perjuangan. Setelah saya habis tonton cerita ini dari awal sampai akhir, bagi saya cerita ini sangat bagus ditonton semua lapisan masyarakat terutama remaja zaman kini. Saya tidak berhajat hendak 'kumpas' secara terperinci tentang cerita ini. Biarlah anda sendiri menontonnya. Cuma saya hendak berkongsi satu part dalam cerita ini untuk kita sama-sama fikirkan..

Syuhada : Atuk pernah cakap yang jodoh itu terbahagi pada tiga.

Irham : Tiga?

Atuk : Yang pertamanya, yang dikatakan jodoh dari syaitan. Kamu berdua berkenalan, berpegangan tangan, dan terus buat maksiat, akhirnya Syuhada mengandung. Baru kamu menikah.

Yang keduanya, jodoh dari Jin. Kamu berdua berkenalan. Kamu sukakan Syuhada, tapi Syuhada tak sukakan kamu. Kamu bomohkan dan sihirkan agar Syuhada suka kepada kamu dan kamu berdua menikah.

Dan yang ketiganya, jodoh dari Allah. Kamu berdua berpandangan mata, terus menusuk ke kalbu. Kamu terus meminang Syuhada dan Syuhada terima pinangan kamu. Dan kamu berdua menikah. InsyaAllah berkekalan hingga ke akhir hayat. Dan itulah yang dikatakan SYURGA CINTA.

Selamat menonton..

Monday, August 24, 2009

Demam Yang Sudah Menjadi Wabak.


"Jangan lupa IMT" dos yang diambil perlu tinggi . Kalau 2 kapsul perlu diambil selang/jarak 2 jam. Habiskan satu botol dalam masa 2 hari dan jika diambil selang/jarak 4 jam perlu 4 kapsul sekali pengambilan. Anak-anak kecil dibuka 1 kapsul digoncang dan cairkan larutan dalam air masak diberi minum dalam keadaan kurangkan pahitnya. beri minum terus hingga sembuh. Kita (HPA) percaya dengan kaedah kita. Demam ini akan memperkenalkan pengubatan Jawi sebagai satu pilihan. InsyaAllah.

Saturday, August 22, 2009

Epilog Sekeping Hati


Duhai hati, mengapa kau begini?
Sesuka hati kau mempermain janji
Sekejap kau ingin berbakti kepada Illahi
Sekejap pula kau lari dari niatmu yang suci
Hinggakan aku tak pasti apa yang kau cuba cari

Aku pinta padamu wahai sang hati
Tolonglah mengerti keinginanku yang satu
Kepingin sekali menghadap Tuhan dengan jiwa murni
Tanpa janji palsu yang bersarang penuh puisi kosong
Menjadi omongan tetapi tak jua ditepati jasadi

Adakah kerana sifatmu semulajadinya memang berbolak-balik?
Pantas kau senang menukar haluan layarmu
Laksana kolek yang terumbang-ambing dipukul ombak
Ditolak ke kiri, ke kanan tanpa tujuan
Tiada sauh pemberat, tak juga dipasak ke bumi
Langsung tak teguh!

Tidakkah kau malu pada Penciptamu?
Di penghujung malam kau meratap inginkan keampunan
Namun di siang hari kau mencorak dosa serta kemurkaan
Sedarlah seisinya dunia hanyalah taman permainan
Malah harganya kurang daripada sebelah sayap nyamuk

Senda gurau ini tak akan berlarutan sampai bila-bila
Sampai masanya episod ini akan ditamatkan jua
Usahlah kau tertipu dek kerana pujuk rayu syaitan dan nafsu hina
Pintu syurga terbuka seluas-luasnya untukmu jejakkan kaki
Jika kau betul-betul bijak ambil peluang di sini
Kau bakal tersenyum riang melihat harta hasil titik peluhmu disana.

Monday, June 1, 2009

Cerita Anak Ikan

Ceritanya mengisahkan seekor anak ikan dan ibunya yang sedang berenang-renang di lautan dalam. Ibu ikan sedang mengajar anak kesayangannya akan erti kehidupan dan realiti yang mereka hadapi.

Anak ikan ini bertanya, "Apa banyakkah perkara yang anakanda tidak ketahui wahai ibu?".

Ibu ikan ini pun berkata, "Duhai anakanda yang ku kasihi, sesungguhnya terdapat suatu perkara yang amat penting yang ibu ingin sampaikan, ajaran ini telah disampaikan oleh pendita-pendita ikan yang terulung sejak zaman berzaman, telah disebarkan kepada seluruh warga alam air ini dan ibu harap anakanda juga ambil berat apa yang ingin ibu katakan. Suatu hari nanti akan anakanda jumpa cacing yang sungguh enak sedang dicucuk oleh mata kail dan diikat pada tali yang tidak nampak oleh mata kasar. Cacing itu itu kelihatan sungguh mengiurkan, sungguh lazat sehinggakan anakanda tidak terfikir akan apa pun kecuali untuk menikmati juadah yang enak itu tetapi anakanda mesti ingat itu hanyalah muslihat manusia, mengumpan anakanda ke alam lain yang penuh sengsara".

"Alam apa itu ibu?"

"Jika anakanda terjerumus ke perangkap manusia itu. Leher anakanda akan disentap oleh besi yang tercangkuk tajam dan anakanda akan merasa kesakitan di mulut anakanda. Kemudian mereka akan tarik anakanda ke arah sesuatu yang menyilau pandangan sehingga anakanda rasa anakanda akan buta. Anakanda akan dicampak umpama sampah di perut perahu mereka dan anakanda akan berasa sesak kerana anakanda bukan lagi dikelilingi oleh air tetapi udara. Kemudian mereka akan membawa anakanda ke pasar. Mereka letakkan harga, ada manusia yang datang dan mencocok-cocok badan badan anakanda sebelum ada yang membawa anakanda ke rumah mereka. Siksaan mereka belum selesai, manusia itu akan mengelar-ngelar anakanda, menghiris daging dan meletakkan garam. Pedihnya ibu tidak dapat bayangkan dan ceritakan...", sambil si ibu tunduk sayu dan ketakutan.

"Sehingga dikelar-kelar, anakanda akan melihat minyak yang panas mengelegak sehingga percikkannya bisa meleburkan kulit anakanda yang halus itu. Manusia kemudiannya akan menurunkan anakanda ke dalam minyak yang panas itu sehingga segala daging dan kulit anakanda melecur dan bertukar warna. Akhirnya anakanda akan dilapah, dimamah dan dikunyah oleh gigi-gigi manusia yang tidak mengenal erti belas kasihan itu. Semua siksaan itu berpunca dari godaan yang sedikit. Ibu berpesan agar anakanda ingat dan berhati-hati di laut lepas ini".

Si anak hanya mengangguk-anggukkan kepalanya dalam hatinya masih tidak yakin kerana belum pernah bertemu cacing yang begitu.

Suatu hari setelah si anak ini remaja dan bersiar-siar dengan kawan-kawannya. Mereka terlihat seekor cacing yang amat besar dan nampak lazat berseri-seri. Semua ikan-ikan itu telah mendengar cerita dari orang tua masing-masing cuma baru sekarang melihatnya dengan mata kasar sendiri. Masing-masing menolak satu sama lain dan mencabar-cabar agar pergi menjamah juadah itu. Akhirnya si anak itu yang tidak yakin dengan cerita ibunya tadi berkata.

"Ahhhh...masakan benar kata-kata ibuku, makanan selazat ini tidak akan mendatangkan apa-apa kecuali kenyang perutku, ini habuanku...". Terlintas nafsu yang datang mengoda lalu si anak itu mengangakan mulutnya luas-luas dan dengan rakusnya membaham cacing itu. Mulut dan tekaknya terasa kesakitan yang amat sangat setelah puas cuba melepaskan diri. Si anak itu berasa amat kesal dan sedih dalam dirinya kerana dia tahu apa yang ibu katakan memang benar cuma segalanya sudah terlambat hanya kerana nafsu.

* Begitulah kisah si anak ikan yang patut kita jadikan pengajaran pada diri kita yang lemah ini, yang tidak punyai apa-apa. Semasa kita kecil, ibu bapa kita menasihi kita beribu satu nasihat supaya kita tidak melangkah ke arah keburukan. Tapi dalam sedar atau tidak kita, musuh no.1 pada diri kita iaitu nafsu yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar kita dan hanya boleh dilihat dengan mata hati yang baik. Kita tidak dapat mengduga nafsu sedang menyerang dan menguji iman kita. Bila kita melangkah sekali pasti sukar hendak kembali kepada yang asal. Oleh itu, marilah kita guna akal dan iman yang dikurniakan pada diri kita dengan sebaik-baiknya. Semoga Allah sentiasa melindungi kita dari melakukan kejahatan dan menjadikan kita hamba yang soleh/solehah dan bertaqwa. Amin..