Saturday, August 22, 2009

Epilog Sekeping Hati


Duhai hati, mengapa kau begini?
Sesuka hati kau mempermain janji
Sekejap kau ingin berbakti kepada Illahi
Sekejap pula kau lari dari niatmu yang suci
Hinggakan aku tak pasti apa yang kau cuba cari

Aku pinta padamu wahai sang hati
Tolonglah mengerti keinginanku yang satu
Kepingin sekali menghadap Tuhan dengan jiwa murni
Tanpa janji palsu yang bersarang penuh puisi kosong
Menjadi omongan tetapi tak jua ditepati jasadi

Adakah kerana sifatmu semulajadinya memang berbolak-balik?
Pantas kau senang menukar haluan layarmu
Laksana kolek yang terumbang-ambing dipukul ombak
Ditolak ke kiri, ke kanan tanpa tujuan
Tiada sauh pemberat, tak juga dipasak ke bumi
Langsung tak teguh!

Tidakkah kau malu pada Penciptamu?
Di penghujung malam kau meratap inginkan keampunan
Namun di siang hari kau mencorak dosa serta kemurkaan
Sedarlah seisinya dunia hanyalah taman permainan
Malah harganya kurang daripada sebelah sayap nyamuk

Senda gurau ini tak akan berlarutan sampai bila-bila
Sampai masanya episod ini akan ditamatkan jua
Usahlah kau tertipu dek kerana pujuk rayu syaitan dan nafsu hina
Pintu syurga terbuka seluas-luasnya untukmu jejakkan kaki
Jika kau betul-betul bijak ambil peluang di sini
Kau bakal tersenyum riang melihat harta hasil titik peluhmu disana.

0 comments:

Post a Comment